Apr 16, 2017

Nasi Lemak Mudah Dan Ringkas


Ita sediakan nasi lemak ni 2 hari yang lalu. Sebenarnya ita seringkali menyediakan nasi lemak untuk sarapan atau makan malam keluarga. Rata-rata anak-anak dan suami ita suka akan nasi lemak yang membuatkan ita kerap memasak nasi lemak untuk hidangan keluarga.

Nasi lemak makanan yang cukup popular di Malaysia. Kini di makan tidak kira untuk sarapan pagi mahupun untuk makan malam. Cara penyediaan nasi lemah cukup mudah dan ringkas sebenarnya, tapi kini terdapat pelbagai pilihan lauk pauk yang di makan bersama nasi lemak menjadikan ianya satu hidangan yang cukup di gemari tidak mengira bangsa dan kaum.

Berita gembira untuk adik-adik yang mula berjinak-jinak ke dapur. Sekarang kak ita ada rancangan baru.. "mari memasak bersama kak ita " di ig kak ita. Bagi adik-adik yang baru cuba-cuba nak ke dapur,  yang baru mula nak memasak untuk kelurga, bolehlah follow kak ita di ig kak ita azlitaaziz
Buat masa ini ada beberapa resepi yang kak ita tunjukkan cara memasaknya dan salah satunya adalah resepi set lengkap Nasi Lemak ini. Selain itu kak ita juga ada kongsikan bagaimana kak ita menyediakan kek 3D berbentuk teddybear bagi adik-adik bakers kita yang baru berjinak-jinak dalam dunia bakers. Insyaallah jika ada kek deco yang lain kak ita akan kongsikan di sana. Jadi rajin-rajinlah jenguk ig azlitaaziz ^_^ jangan lupa like dan follow ya!

Sebenarnya ita terpanggil untuk menunjukkan cara memasak, setelah ita dapati masih ada lagi adik-adik ita di luar sana yang masih takut ke dapur dan masih lagi tidak pandai memasak. Ada yang anak dah masuk 3.. 4 pun.. masih lagi tak pandai memasak. Aduh! sedih akak...
Memasak bukanlah satu yang sangat susah.. ia cukup mudah sebab tu kita seringkali dengar orang kata.. ala resepi campak-campak aje.. itu sudah cukup mengambarkan yang memasak ni sangat mudah semudah ABC.

Sebenarnya ita dulu pun tak pandai masak tau! ialah ita mempunyai adik beradik yang ramai.. dan emak telah membahagikan tugas mengurus rumah tangga kepada kami adik beradik. Ada yang tugasnya masak, ada mengemas, ada yang basuh kereta, ada cuci baju, ada lipat kain.. dan tugas ita mengemas dan pergi kedai.. sebab itu ita memang tak pandai masak.. kalau kemas rumah tak payah cakap memang tip top! ( amboi angkat bakul nampak.. hihi )

Bila berumahtangga, adoiii... seram sejuk di buatkannya lebih-lebih lagi bila kena tinggal dengan mak mertua. Mujur masa tu ita kerja jadi masa ita tak banyak di rumah. Bila tinggal rumah sendiri.. barulah ita kerkial-kial nak belajar masak. Apa yang membuatkan ita nak belajar masak bila mak ita pesan " kita kalau nak suami sayang kita.. jaga makan pakai dia... yang paling penting jaga perut dia.. "  mak mertua ita pula selalu ingatkan ita supaya jangan biarkan orang lelaki masak untuk kita..
Kata-kata dari dua insan yang amat ita sayangi inilah yang membuatkan ita berkobar-kobar dan berazam untuk pandai memasak.

Ada orang dia akan kata " saya dah kata kat suami sebelum kawin lagi.. saya tak pandai masak.. jadi bila dah kawin jangan paksa saya masak sebab saya memang tak tahu masak"

Adik-adik yang kak ita kasihi dan sayangi...
Jangan jadikan kata-kata kita sebagai senjata kita untuk mengelak atau melepaskan tengkuk dari menjalan tugas dan tanggung jawab. Memaglah semua orang pun tak pandai masak.. tapi kalau kita tak nak belajar dan perbaiki diri.. sampai bila..? kalau tak pecahkan ruyung mana nak dapat sagunya.. tak ada satu orang manusia pun yang lahir-lahir terus pandai masak.. nak seibu daya tak nak seribu dalih. Sebab tu ada pepatah atau kata-kata orang tua.. orang perempuan ni belajar setinggi langit pun akhirnya duk ceruk dapur jugak! itu menunjukkan betapa besarnya tanggungjawab kita sebagai ibu dan isteri..

Adik-adik sayang tak kat suami...? sayang tak kat anak-anak..?
haaaa... kalau sayang haruslah di belai macam kita sayang kucing.. kita belai.. kita bagi makan baik-baik.. ni tahu sayang aje... tapi tak nak masak untuk suami dan anak-anak.. kalau suami cari orang lain.. pandai pulak meraung.. melakak..

Ok kak ita tak nak membebel.. tolong ya adik-adik.. cuba belajar masak.. tak susah mana pon.. akak percaya bila adik-adik dah mula memasak pasti rasa seronok sangat!! bila tak masak rasa macam ada yang tak cukup lengkap tugasan kita sehari.. ala.. belajar masak yang simple.. simple aje dulu.. akak percaya bila adik-adik akak dah mula masak pasti suami dan anak-anak dah tak nak makan kat luar dah.. mesti nak rasa air tangan ibu tersayang...

Jom kita semak resepi nasi lemak mudah dan ringkas. Untuk cara memasak boleh lihat di ig ita azlitaaziz


NASI LEMAK MUDAH DAN RINGKAS

3 cawan beras ~ cuci bersih dan toskan airnya
3 cawan air
* jika masak tak ramai boleh lah kurangkan sukatan beras. Sukatan air dan sukatan beras adalah sama jika gunakan beras biasa. Tapi bergantung pada beras jugak. Jadi harus kenal dengan beras yang di gunakan.
3 sudu besar santan KARA ( santan ni campur dengan air * kalau guna 2 cawan beras santan letak 2 sudu )

1 sudu teh halba
1 sudu teh garam halus
3 ulas bawang merah ~ di hiris
1 batang serai ~ di ketuk perdunya
2 inc halia ~ di titik atau di hiris

Dalam periuk nasi, panaskan  minyak
Kemudian tumiskan bawang hiris, halia, daun pandan, dan serai hingga layur.
Bila dah layur dan naik bau, baru masukkan halba. Halba jangan  tumis awal sebab ia cepat hangus, bila hangus nanti rasa pahit
Kemudian masukkan santan dan biarkan ia didih
Bila dah didih, masukkan garam secukup rasa
Akhir sekali masukkan beras
Jika airnya kurang boleh tambah air, mengikut sukatan air untuk memasak nasi anda
Tutup periuk dan biarkan nasi tanak seperti biasa

SAMBAL TUMIS IKAN BILIS 

1 cawan ikan bilis ~ di siang dan di goreng

Bahan kisar
1 cawan cili kering ~ potong , rendam hingga lembut dan di kisar
10 ~ 15 biji bawang merah ~ dikisar ( bawang letak lebih-lebih nanti kuah sambal manis )
5 ulas bawang putih ~ dikisar
belacan sebesar 50 sen. Di kisar bersama cili ( kalau tak nak sambal bau belacan yang kuat bakar dulu belacan tu)

1 sudu besar asam jawa campur air dan jadikan jus, ambil jusnya sahaja
1 sudu teh garam 
6 ~ 7 sudu besar gula ( gula ni letak sikit dahulu, rasa manisnya. Biasa ita letak 6 sudu )
1/2 sudu teh aji no moto jika suka

Panaskan minyak. Bila buat sambal minyak kena banyak supaya bahan tumis kita dapat di tumis garing. Lagi sau sambal kita tahan lama.
Bila minyak dah panas gorengkan ikan bilis hingga garing
Angkat dan toskan
Panaskan minyak semula
Bila minyak dah panas, masukkan cili kering, belacan, bawang merah dan bawang putih yang telah di kisar. Tumis hingga garing dan pecah minyak
Tumis ni lama-lama ya sebab bagi dia betul-betul garing dan hilang semua bau maung lada.
Bila dah garing masukkan air asam jawa
Lepas tu perasakan dengan garam
Kemudian masukkan gula. Gula ni kita letak banyak sebab sambal kalau manis-manis pedas sedap! Bila dah letak gula warnanya akan bertukar kemerah-merahan berkilat.
Biar dia merenih kejap 
Kemudian tutup api dan biarkan sejuk
Bila sambal dah sejuk baru masukkan ikan bilis, supaya bila makan ikan bilih masih rangup!

SAYUR KACANG GORENG

1 ikat sayur kacang panjang ~ potong serong
1 batang lobak merah ~ potong mancis
1 batang cili merah ~ hiris nipis

bahan hiris

5 ulas bawang merah ~ di hiris
3 ulas bawang putih ~ hiris halus
1 inc halia ~ hiris halus

Panaskan minyak dalam kuali
Bila minyak dah panas, masukkan bahan hiris dan masak hingga layur
Masukkan sayur yang telah di hiris
Masak hingga sayur layur tapi masih rangup ( jangan lama sangat masak sampai lecur )
Perasakan dengan garam dan secukup rasa
Angkat dan hidangkan bersama nasi lemak





Apr 15, 2017

Kek Onde-onde yang sedap sangat!


Seperti yang kak ita janjikan dalam ig dan dalam blog yang kak ita akan kongsikan resepi kek yang sangat sedap ini.
Pelbagai kek kini muncul di pasaran dengan pelbagai tema dan rupa. Kini satu lagi kek yang pada kak ita amat serasi dengan anak tekak kak ita yang ke kampungan ni. Kek onde-onde di beri nama , mungkin cara penyediaannya yang mirip kepada kuih onde-onde atau rasanya yang mungkin serupa barangkali. Tapi pada kak ita, kek dan kuih adalah dua benda yang berbeza dan kak ita gabungkan keduanya dalam satu kek supaya dapat di nilai sendiri keenakkan yang sungguh asli.


Mungkin ada yang kata kek ni sama dengan kek pandan gula Melaka, hampir serupa tapi agak berlainan dari segi krimnya kerana pandan gula Melaka menggunakan swiss meringue buttercream , manakala kek onde-onde menggunakan cheese. Itulah yang memberikan kelainan pada kek yang satu ini.

Ok lah.. kita tak payah nak sembang banyak sangat, nampak dah berjeje-jejeh.. dah air liur masing-masing... ^_^  Jom kita masuk dapur dan kita mulakan proses untuk menyediakan kek yang sungguh enak ini.



KEK ONDE-ONDE


Kek Span Pandan

150 gm tepung gandum
1 sudu teh baking powder
150 gm gula halus
5 biji telur A
80 ml santan
4 helai daun pandan
80 ml unsalted butter yang di cairkan
1 sudu besar ovellete
pewarna hijau
pandan emulco



Mula-mula kita satukan tepung gandum dan baking powder dan ayak
daun pandan cuci bersih dan potong kecil. Masukkan dalam blender, letakkan santan dan kisar hingga halus. Kemudian di tapis
Satukan jus santan pandan dengan pewarna pandan dan paste pandan emulco. Kacau rata
Butter di cairkan


Satukan telur, gula dan ovellet dan mixer dan putar hingga berbuih
Masukkan tepung yang telah di ayak dan putar hingga gebu
Masukkan pula jus pandan santan dan putar dengan speed laju hingga gebu
Tutup mixer
Masukkan butter cair dan kaup balik rata
Tuang adunan sama banyak dalam 2 loyang 8 inc yang telah di sapu butter dan di letakkan kertas minyak ( anggaran 350 gm setiap satu loyang )
Bakar dalam ketuhar yang telah di panaskan 15 minit awal pada suhu 170 selama 45 minit
Setelah masak, cepat-cepat keluarkan dari loyang dan terbalikan atas redai.
Kemudian terbalikkan semua atas lapik kek.
Proses ini kena lakukan dengan cepat supaya kek tak turun atau penyek oleh tarikkan graviti.

Setelah kek kita siap kita sediakan pula syrup gula Melaka

Syrup Gula Melaka

1/2 cawan gula melaka ~ di hiris atau 4 keping gula Melaka
1/2 cawan air
1 helai daun pandan di simpul
1 sudu besar tepung jagung


Satukan semua bahan ini dalam periuk dan masak hingga ia pekat. Jangan lupa untuk sentiasa di kacau sewaktu proses memasak gula
Kemudian tapis
Biarkan ia sejuk

Sementara kita tunggu syrup gula Melaka kita sejuk, kita sediakan pula krimnya



Cream Cheese Gula Melaka

250 gm cream cheese
200 ml syrup gula Melaka
60 gm gula icing
300 gm whipping cream
12 gm gelatin
45 ml air


satukan gelatin dalam air dan biarkan ia kembang
Kemudian cairkan cara kukusan atau masukkan dalam microwave
Satukan cream cheese dan gula icing, dan putar hingga ia lembut dan berkrim
Tuangkan gelatin yang cair sambir terus di putar


Kemudian tuangkan syrup gula Melaka dan gaul rata
Dalam mixer yang bersih, putarkan non dairy whipping cream hingga kental
Satukan whipping cream bersama cheese gula melaka dan kaup balik rata
Sedia di gunakan



Proses Penyediaan


Kek span pandan yang telah kita sediakan tadi, kita potong setiap loyang kepada 2 keping
Ini bermakna kita akan dapat 4 keping kek span yang nipis

Letakkan sekeping kek atas lapik kek
Tuangkan syrup gula melaka dan ratakan
Paipkan cream cheese gula Melaka dan ratakan
Kemudian letakkan sekeping lagi kek
Ulang proses yang sama hingga selesai.
Salutkan keseluruhan kek dengan cream cheese gula Melaka
Kemudian salutkan keseluruhan kek dengan kelapa kering ( boleh di beli di kedai bakery)
Hiaslah kek mengikut citarasa anda.



Selamat mencuba dan selamat menjamu selera !


AzlitaMasamManis. Powered by Blogger.